Faisal tak dabik dada

June 4, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: “Saya bukan ahli silap mata,” itulah komen pemain tengah Pahang, Faisal Halim yang muncul wira selepas jaringan masa kecederaan memastikan skuad itu menewaskan PKNP FC 2-1, kelmarin.

Lebih manis, jaringan masa kecederaan itu adalah yang ketiga buat dirinya dalam saingan Liga Super musim ini seperti yang dipersembahkan ketika menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 dan Melaka United (2-0).

“Tiada apa yang perlu diulas kerana kemenangan yang diraih ini adalah semangat kerja berpasukan walaupun dikejutkan gol seawal minit kedua oleh tuan rumah.

“Jaringan pendahuluan berkenaan ternyata menyentap semangat kami untuk mendapatkan gol penyamaan dan ia hanya muncul pada separuh masa kedua perlawanan.

“Gol penyamaan yang disempurnakan Mohamadou Sumareh menaikkan semangat kami untuk bekerja keras dan hasilnya tiga mata yang diidamkan menjadi kenyataan,” katanya.

Mengulas tiga gol dalam tiga perlawanan terutama pada masa kecederaan, Faisal mengakui kata-kata semangat yang diberikan jurulatih, Dollah Salleh membantu menambah lagi keyakinannya.

Katanya, walaupun jurulatih hanya mengulangi nasihat yang sama sebelum turun sebagai pemain gantian, ia memberi motivasi untuk memastikan skuad Tok Gajah meraih kejayaan.

“Saya percaya kepada rezeki dan dengan komitmen tinggi daripada pengurusan, kejurulatihan dan rakan sepasukan, kami akan melakukan yang terbaik buat pasukan musim ini.

“Keputusan positif diharap berterusan jika mahu terus merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.

Selepas 13 perlawanan, Pahang kini ketinggalan lapan mata iaitu 24 mata berbanding JDT dengan 32 mata.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features