Piala FA: Kecik intai pentas final

June 29, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria atau lebih mesra dengan panggilan Kecik sedia meledak jaringan apabila bertemu PKNP FC pada separuh akhir kedua Piala FA di Ipoh, Ahad ini.

Dua gol, satu pada separuh akhir pertama Piala FA dan satu lagi pada aksi Liga Super ketika bertemu Selangor sudah cukup membantu meningkatkan motivasi pemain berumur 27 tahun itu.

Pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu akan memastikan sentuhan gol akan terus memihak kepadanya untuk membantu skuad Tok Gajah layak ke final piala berprestij itu.

“Saya akui teruja apabila membantu Pahang menjaringkan gol yang menyaksikan keputusan seri 1-1 ketika bertemu PKNP dan Selangor dalam dua perlawanan berturut-turut,” kata Wan Zaharulnizam.

“Saya harap perlawanan ketiga ini juga akan memberi tuah untuk menghadiahkan jaringan buat Pahang sekali gus layak ke pentas final.”

Wan Zaharulnizam juga percaya skuad Tok Gajah akan tampil dengan lebih bertenaga dengan kehadiran tiga pemain iaitu kapten pasukan, Matthew Davies, Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih.

Menurutnya, ketiadaan tiga pemain berkenaan pada separuh akhir pertama menyaksikan Pahang gagal berfungsi dengan baik di bahagian tengah.

“Pada masa sama, saya mengharapkan Mohamadou Sumareh dan Patrick Cruz dapat membantu pasukan walaupun masih dibelenggu kecederaan.

“Ketiadaan kapten pasukan PKNP, Shahrel Fikri Md Fauzi juga memberi lebih peluang buat Pahang mengecewakan lawan tapi kami tidak boleh leka sepanjang aksi 90 minit,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features