Afif akui belum capai kecergasan terbaik

August 13, 2018

Selepas tiga bulan menyepi kerana kecederaan, kehadiran pemain tinggi lampai Pahang, Mohd Afif Amiruddin, memberi kekuatan tambahan di barisan pertahanan skuad Tok Gajah semasa menewaskan Selangor 2-0 dalam Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Ketiadaan Afif jelas memberi masalah besar kepada Pahang selama ini yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada gandingan Mohamad Muslim Ahmad dan Mohd Bunyamin Umar.

Semuanya berpunca daripada kecederaan hamstring dialaminya sejak Mei lalu yang menyaksikan dia terpaksa berehat panjang — tempoh paling lama sepanjang dia bergelar pemain profesional.

“Dalam kerjaya saya selama 20 tahun, ini adalah kecederaan paling lama, iaitu tiga bulan,” kata Afif.

“Masih banyak kerja kerana saingan dalam Kumpulan D terbuka semula. Saya belum mencapait tahap 100 peratus tetapi Alhamdulillah, dapat kekalkan rekod bersih.”

Menurut pemain berusia 34 tahun itu, dia sebenarnya belum pulih 100 peratus ketika bertemu Selangor tetapi Muslim banyak membantu jika dia melakukan sebarang kesilapan.

Berharap gandingan mereka dikekalkan, Afif menjangka pentas Piala Malaysia mampu menjadi medan buat dirinya menebus kehampaan selepas tidak tampil dalam final Piala FA.

“Saya dan Muslim saling bantu membantu. Masih awal untuk meramal nasib pasukan dalam saingan ini, biar kami lepasi peringkat kumpulan dahulu. Rezeki untuk ke final, kami serah kepada Allah,” katanya lagi.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features