Afif teruja beraksi selepas cuti tiga bulan

August 14, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Tiga bulan ‘berehat’ akibat kecedaraan hamstring di paha kiri bukan satu tempoh singkat buat pemain pertahanan Pahang, Afif Amiruddin. Kecederaan pemain kelahiran Kelantan itu adalah kali pertama dan serius dalam kerjayanya sebagai pemain profesional kira-kira 15 tahun lalu.

Namun, Afif yang kembali beraksi ketika Pahang menewaskan Selangor 2-0 pada saingan Piala Malaysia mahu membuktikan kehadirannya membantu rakan sepasukan mempertahankan gawang daripada dibolosi.

“Sudah pasti saya gembira apabila kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas menunggu sehingga tiga bulan bersama rakan sepasukan. Tetapi, saya akui kecederaan hamstring pada paha kiri yang dialami Mei lalu, masih belum pulih 100 peratus dan masih dalam pemulihan tetapi bersyukur kerana boleh bermain.

“Kepercayaan yang diberi untuk mengawal pertahanan pada perlawanan dengan Selangor yang menyaksikan kami menang 2-0 sangat mengujakan. Saya tak sangka sepanjang tiga bulan tidak beraksi, saya dapat beraksi dengan baik sepenuh masa, berkat sokongan rakan sepasukan dan lebih bermakna gawang Pahang tidak dibolosi lawan,” katanya di sini, hari ini.

Justeru, Afif akan memastikan momentum kemenangan ke atas Selangor dapat diteruskan pada perlawanan dengan PKNP FC di Stadium Perak, Sabtu ini.

Katanya, kejayaan menewaskan Red Giants membantu skuad Tok Gajah untuk terus menerajui Kumpuln D selepas membuka kempen Piala Malaysia selepas seri 1-1 dengan Sabah.

“Kami harap pertemuan dengan PKNP akan memihak kepada Pahang biarpun lawan dijangka memberi tentangan sengit selepas mereka tewas 0-1 kepada Sabah,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh memuji persembahan pemain senior berumur 34 tahun itu selepas `berehat’ selama tiga bulan akibat kecederaan.

Afif mengalami kecederaan ketika menentang Kedah di Stadium Darul Makmur, 5 Mei lalu. Dia juga terlepas peluang beraksi ketika skuad Tok Gajah muncul juara Piala FA musim ini selepas menewaskan Selangor 2-0.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features