Ahmad Shaharuddin bimbang dengan motivasi Tok Gajah

September 26, 2017

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Kekuatan mental menjadi fokus utama skuad Tok Gajah apabila berdepan pasukan T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, malam esok.

Kegagalan mencapai misi layak ke separuh akhir Piala Malaysia apabila kalah 0-4 kepada Perak pada suku akhir kedua, jelas meninggalkan kesan besar terhadap prestasi pasukan itu.

Ia diakui sendiri oleh Penolong Jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi yang bimbang dengan komitmen pemainnya terutama dari segi mental.

“Saya akui pemain berada pada prestasi tidak menentu terutama emosi mereka ketika ini selepas gagal ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Sebab itu, saya kini menumpukan untuk mengembalikan keyakinan pemain yang menurun untuk fokus pada dua baki perlawanan Liga Super.

“Ini kerana kekuatan mental pemain amat diperlukan untuk memastikan enam mata diraih sekali gus memberi harapan beraksi pada Kejohanan Piala AFC,” katanya.

Shaharuddin berkata, skuad itu perlu menewaskan T-Team jika mahu beraksi di Piala AFC musim depan.

“Apa yang penting kami tidak boleh kehilangan mata dan memastikan tiga mata diraih di tempat lawan.

“Tapi dengan kurangnya keyakinan di kalangan pemain, ia diharap dapat diatasi segera sebelum perlawanan bermula.

“Saya juga belum memutuskan sama ada menyenaraikan barisan sama atau menyandarkan harapan kepada pemain simpanan apabila bertemu T-Team esok,” katanya.

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features