Aksi di Kuantan jadi penentu

September 19, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Berdasarkan prestasi menakjubkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini, skuad Pahang bakal berdepan saingan sengit dan mesti ‘membunuh’  segera  kebangkitan Harimau Selatan dalam pertembungan suku akhir pertama Piala Malaysia di Kuantan, Ahad ini.

Aksi di Stadium Darul Makmur itu nanti bakal menjadi penentu bagi skuad Tok Gajah, kerana jika gagal meraih kemenangan atau seri, mereka akan berdepan laluan sukar dalam aksi pusingan kedua di Larkin.

Hakikat itu diakui pertahanan skuad Tok Gajah, Afif Aminuddin yang menegaskan, pertemuan kali ini bakal menyaksikan aksi getir buat skuad kendalian Dollah Salleh.

“Kami jangkakan berdepan cabaran besar untuk mencatat kemenangan bertemu JDT, kerana mereka mempamerkan kebangkitan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Dengan prestasi itu, kelebihan yang ada apabila beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin sebelum bertanding ke Larkin nanti.

“Segalanya perlu dilakukan di Kuantan dan prestasi lebih baik mampu diterjemahkan bagi menafikan misi JDT untuk menang atau seri di sini,” katanya.

Jadi, Afif dan rakan sepasukan terutama di bahagian pertahanan berjanji mereka akan memastikan gawang Pahang tidak dibolosi skuad Harimau Selatan itu.

Katanya, kemenangan besar 4-0 ke atas Sabah pada aksi terakhir peringkat kumpulan kelmarin, turut memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia pada musim ini.

“Bagi saya, kemenangan besar ini banyak membantu dan mengharapkan kemenangan selesa akan dapat diraih di laman sendiri. Ia cukup penting sebagai sebagai bekalan pada suku akhir kedua nanti,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features