Amutu makin berselera gegar gawang

May 28, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Penyerang import baru, Austin Amutu teruja kerana mencatat nama sebagai penjaring ketika Pahang menang besar 4-0 ke atas Kuala Lumpur kelmarin.

Pemain berasal dari Nigeria itu berkata, jaringan yang terhasil menerusi penampilan keduanya dalam Liga Super menyuntik inspirasi buatnya untuk lebih menyerlah dalam membantu skuad Tok Gajah memburu kemenangan seterusnya.

“Saya gembira kerana sudah melakukan yang terbaik sepanjang perlawanan dan hasilnya berjaya menjaringkan gol sulung. Saya harap dapat meneruskan rentak cemerlang ini,” katanya.

Katanya, keterujaan untuk menambah koleksi jaringan peribadi akan menjadi fokus utamanya dan menaruh harapan dalam usaha itu Pahang juga meraih kemenangan.

Justeru, Amutu yang menggantikan Francis Forkey Doe berharap persefahaman dan keserasian bersama rakan sepasukan akan lebih mantap untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik musim ini.

Kelmarin, pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji Amutu dan seorang lagi import baru Issey Nakajima apabila masing-masing menjaringkan satu gol ketika menewaskan Kuala Lumpur.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features