Azam kembali tersenarai, Matthew digugurkan

October 22, 2018

Pemain tengah muda Pahang, Norazam Azih kembali tersenarai dalam skuad kebangsaan setelah senarai awal 26 pemain untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Maldives dan juga bagi menghadapi Kejohanan Piala Suzuki AFF 2018 diumumkan sebentar tadi.

Norazam yang menempuh musim yang cemerlang bersama Pahang apabila menjadi tonggak utama di bahagian tengah kendalian Dollah Salleh sebelum ini disisihkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk dua perlawanan persahabatan kelas A menentang Sri Lanka dan Republik Kyrgyz.

Beliau juga tidak menyertai skuad bawah 23 tahun Malaysia di Sukan Asia walaupun mendapat panggilan berikutan tidak mendapat pelepasan dari Pahang FA yang lebih memerlukan dalam menghadapi Piala Malaysia ketika itu.

Sementara itu, pemain bek kanan yang juga ketua pasukan Pahang, Matthew Davies digugurkan dari senarai setelah mengalami kecederaan lutut dan mungkin akan terlepas aksi Piala Suzuki AFF yang akan berlangsung bermula November ini.

Dua pemain Pahang yang menyertai skuad Tan Cheng Hoe sebelum ini, Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talha dikekalkan berikutan aksi cemerlang mereka dalam dua perlawanan persahabatan sebelum ini dengan Norshahrul paling banyak menerima pujian dari peminat.

Daripada 26 pemain tersebut, 21 pemain akan melapor diri pada Rabu (24 Oktober 2018) sementara lima pemain Perak yang terlibat dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada hari Sabtu hanya akan melapor diri pada Isnin, 29 Oktober 2018 ini.

Perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Maldives akan diadakan pada 3 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil dan seterusnya Piala Suzuki AFF 2018 yang bermula dari 8 November 2018.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features