Azam mahu tebus kekecewaan Piala AFF

March 16, 2019

KUALA LUMPUR 16 Mac – Selepas diketepikan daripada skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF tahun lalu akibat kecederaan, bintang tengah Pahang, Nor Azam Azih mahu menebus kekecewaan dengan membawa Malaysia melangkah ke final Piala Air Marine yang bermula di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu depan.

Pemain berusia 24 tahun itu menegaskan, dia mahu membalas kepercayaan jurulatih, Tan Cheng Hoe dengan memberi sumbangan kepada pasukan bermula dengan aksi pembukaan menentang Singapura.

“Saya gembira sebab terpilih lagi dalam skuad kebangsaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih yang memberi kepercayaan kepada saya, sudah tentu ia akan dibalas dengan aksi terbaik.

“Saya masih baru dalam pasukan kerana sebelum ini saya mengalami kecederaan dan hanya dapat menyertai skuad kebangsaan untuk tempoh singkat.

“Kali ini, saya mahu membawa Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Air Marine,” kata Nor Azam.

Nor Azam percaya, peluang untuk mengalahkan pasukan jiran, Singapura dalam aksi pembukaan Rabu depan cukup cerah meskipun lawan memiliki ranking lebih baik.

“Kalau tengok ranking, Singapura hanya satu anak tangga di atas kita, jadi kita tidak perlu rasa gementar apatah lagi bermain sebagai tuan rumah.

“Saya percaya, Malaysia akan memenangi perlawanan itu,” katanya lagi.

Berdasarkan ranking semasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Oman berada di kedudukan ke-90 dunia diikuti Afghanistan (147), Singapura (165) dan Malaysia (167).

Jika berjaya mengalahkan Singapura, Malaysia akan bertemu pemenang di antara Oman atau Afghanistan dalam perlawanan akhir, Sabtu depan. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/azam-mahu-tebus-kekecewaan-piala-aff-1.863135#ixzz5iPyKyDuI


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(PM4)
Malaysia Cup
Darul Makmur Stadium, KUANTAN

(PM5)
Malaysia Cup
Perak Stadium, IPOH