Bangkok medan uji pemain

January 3, 2018

Skuad Liga Super Pahang berlepas ke Bangkok sebentar tadi bagi mengharungi 3 perlawanan persahabatan pra musim bagi membentuk kesefahaman dan keserasian di antara pemain lama dan baru bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim 2018.

Bertolak pada hari ini 3 Januari 2018, Pahang dijadualkan bertemu 3 pasukan iaitu skuad simpanan Muangthong United pada 5 Jan 2018, pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke Liga 1 Thailand, Air Force Central pada 7 Januari 2018 dan juga satu pasukan dari Liga Klasik Korea yang juga sedang melakukan sesi pra musim di negara Gajah Putih itu iaitu Gyeongnam FC pada 9 Januari 2018.

Rombongan kali ini juga disertai oleh dua pemain import baru yang merupakan pemain sensasi dari Kemboja Chan Vathanaka dan pemain dari Singapura Safuan Baharuddin.

Turut serta ialah pemain tempatan yang baru masuk seperti Norshahrul Idlan Taha dari Felda United, Mohd Bunyamin Umar (Selangor), Mohd Hazri Rozali dan Mohd Wafieyuddin (Shahzan Muda).

Skuad kali ini tidak disertai oleh 3 pemain iaitu Norazam Azih, Matthew Davies dan Kogileswaren yang kini sedang menyahut panggilan skuad bawah 23 tahun kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan mengharungi Kejohanan AFC B23 2018 yang berlangsung di China.

Mereka dijangka kembali ke tanah air pada 10 Januari 2018.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features