Barisan kedua Pahang tewas di Shah Alam

June 26, 2019

Selangor yang memburu kedudukan kedua menang besar ke atas barisan kedua Pahang dengan keputusan 5-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dollah Salleh membuat keputusan untuk merehatkan kesemua pemain yang beraksi semasa Pahang menang di separuh akhir 1 Shopee Piala FA menentang Perak di Kuantan pada Sabtu dan hanya meletakkan barisan pemain simpanan.

Ini adalah bertujuan untuk memberi pemain rehat yang cukup sebelum menghadapi separuh akhir kedua di Ipoh setelah kejuaraan Liga Super sudah sukar untuk dikejar.

Pemain muda seperti Dinesh, Kogileswaren, Zuhair Aizat, Ashar Al Aafiz dan Nik Sharif diberi kepercayaan untuk turun dalam kesebelasan utama sambil dibantu pemain senior seperti Afif Amiruddin, Bunyamin Umar dan Wan Zaharulnizam.

Hanya seorang pemain import iaitu Saddil Ramdani diturunkan manakala pemain import lain seperti Safuwan Baharuddin dan Lazarus Kiambi hanya bermula di bangku simpanan.

Selangor yang turun dengan barisan terkuat beraksi garang sebaik bermula tiupan wisel dari pengadil perlawanan Zurkarnain Zakaria tetapi Pahang utuh menyerap asakan mereka.

Namun, gawang Pahang yang dikawal Ramezey Che Ros bocor jua hasil jaringan Kyril Muhymeen yang menanduk bola sepakan percuma Sandro pada minit ke 30.

Pemain import Selangor Ifedayo Patrick kemudian menambah derita Pahang apabila menambah dua gol pada minit ke 35 dan 42 sebelum perlawanan menuju rehat separuh masa kedua.

Selangor menjadikan kedudukan 4-0 hanya beberapa saat babak kedua bermula melalui seorang lagi pemain import iaitu Endrick dos Santos hasil dari gerakannya bersama Ifedayo.

Pahang bagaimanapun mengurangkan defisit gol apabila R Kogileswaren menjaringkan gol pertama Pahang hasil satu sepakan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke 68.

Selangor yang tersentak dengan jaringan itu kembali melancarkan serangan sebaliknya Pahang yang menambah jaringan melalui Sumareh yang masuk sebelum itu melalui tandukan hasil sepakan percuma ketua pasukan Bunyamin Umar.

Ifedayo kemudian melengkapkan hatrik beliau 5 minit sebelum masa sebenar tamat untuk menjadikan keputusan 5-2 berpihak Selangor.

Keputusan ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Pahang yang kekal di tangga kedua liga dengan kelebihan satu perlawanan manakala Selangor melonjak ke tangga ketiga mungkin untuk seketika kerana Kedah yang hanya beraksi malam ini boleh merampas kedudukan Selangor jika mencatat kemenangan ke atas Petaling Jaya City.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(LS15)
Super League
Darul Makmur Stadium, KUANTAN

(LS22)
Super League
Darul Makmur Stadium, KUANTAN