Belajar daripada kesilapan: Faisal Rosli

March 5, 2017

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli mahu rakan sepasukannya melupakan terus episod kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) kelmarin dan perlu mempamerkan persembahan lebih mantap selepas ini.

Baginya, kekalahan itu tidak akan memadam misi skuad Pahang untuk kembali menguasai persada Liga Super bahkan menganggapnya sebagai perlawanan yang penuh dengan pengajaran dan pencetus semangat.

Pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang ini akur, kekalahan kepada skuad Harimau Selatan itu memberi pengalaman berharga kepadanya serta rakan sepasukan lain untuk lebih bersedia mengekang asakan lawan.

“Apa yang diperkatakan jurulatih (Dollah Salleh) – pemain perlu mengambil pengajaran di atas kekalahan itu adalah tepat dan ia adalah bagi memastikan kami kembali memperbaiki kelemahan diri.

“Kami sudah mencuba sebaik mungkin tetapi lawan mempamerkan prestasi lebih baik walaupun kami menjaringkan gol awal,” katanya.

Setakat ini, selepas mengharungi lapan perlawanan, Pahang sudah melepaskan 10 gol untuk berada di tangga kedua liga dengan mengutip 16 mata manakala 18 mata kini milik pendahulu liga, Kedah.

Mohd Faisal mengharapkan prestasi lebih baik akan dipersembahkan skuad itu menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Melaka United di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

“Saya percaya tempoh rehat seminggu ini akan memberi lebih ruang untuk kami kembali cergas selepas mengharungi jadual padat.

“Kami mahu Pahang memanfaatkan kelebihan di laman sendiri untuk layak ke suku akhir piala berprestij itu,” katanya.

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(LS17)
Super League
Darul Makmur Stadium, KUANTAN

(S1FA)
Shopee FA Cup
Darul Makmur Stadium, KUANTAN