Cheng Hoe ‘rehatkan’ Davies, panggil Azam

October 22, 2018

Oleh : Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe terpaksa melupakan khidmat Matthew Davies dan Fazly Mazlan bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November depan.

Davies masih belum pulih daripada kecederaan lutut, sementara Fazly yang turut menyertai Harimau Malaya ketika aksi persahabatan berdepan Kyrgyzstan di Melaka pada 16 Oktober lalu digugurkan kerana komitmen peribadi.

Menerusi senarai 26 pemain yang diumumkan hari ini, Cheng Hoe mengekalkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh selain memanggil tonggak tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih.

Selain itu, penjaga gol Haziq Nadzli, Mahalli Jasuli dan Nik Akif Syahiran Nik Mat diletakkan dalam senarai menunggu bersama Nazmi Faiz Mansor.

“Sebagai ganti, Cheng Hoe memanggil lapan pemain baharu – Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abd Radzak, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Ahmad Hazwan Bakri, Nazirul Naim Che Hashim dan Nor Azam.

“Seramai 21 pemain akan melapor diri Rabu ini sementara lima pemain Perak hanya akan melapor diri Isnin depan selepas beraksi pada final Piala Malaysia bertemu Terengganu FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Selepas perlawanan bertemu Maldives, Cheng Hoe akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain yang akan beraksi pada Piala AFF 2018,” menurut Persatuan Bolasepak Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pahang tidak melepaskan Davies dan Nor Azam untuk menyertai skuad bawah 23 tahun negara bagi kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang kerana khidmat mereka diperlukan Tok Gajah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features