Davies, Azam dan Faisal Halim dapat panggilan

July 19, 2018

3 pemain Pahang mendapat panggilan Ketua Jurulatih B23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee bagi menjalani kem latihan pusat skuad B23 kebangsaan bermula 30 Julai 2018 di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Ketua pasukan Pahang, Matthew Davies; pemain tengah meningkat naik Norazam Azih serta super sub Pahang Faisal Halim antara pemain yang berada dalam senarai yang dikeluarkan dan diumumkan semalam.

Panggilan ini bukanlah satu perkara asing bagi Davies dan Azam kerana meraka berdua menjadi antara tonggak utama Datuk Ong Kim Swee semasa Pusingan Akhir Kejohanan AFC B23 yang berlangsung di China pada Januari yang mana Malaysia berjaya mara sehingga suku akhir.

Manakala Faisal Halim pula pernah mendapat panggilan beberapa kali semasa pasukan B23 masih di bawah kendalian Frank Bernhart dan pernah beraksi dalam Kejohanan 4 Negara yang berlangsung di Melaka pada tahun 2017 namun jarang disenaraikan semasa Datuk Ong Kim Swee mengambil alih pasukan.

Namun begitu, seorang pemain iaitu K Kogileswaren berada dalam senarai menunggu jika ada mana-mana di kalangan 24 pemain di dalam senarai kecederaan.

Panggilan ini adalah sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 14 Ogos hingga 1 September 2018 dengan 2 perlawanan persahabatan diatur iaiatu menentang B23 China di tempat lawan pada 5 Ogos dan B23 Arab Saudi di tempat sendiri pada 9 Ogos sebelum berlepas ke Indonesia pada 12 Ogos 2018.

Perlawanan pertama bagi acara bolasepak Sukan Asia adalah pada 14 Ogos dengan Malaysia B23 berada satu kumpulan dengan Korea Selatan B23, Kyrgyzstan B23 dan Bahrain B23 dalam Kumpulan E.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features