Davies mahu rakan pamer aksi konsisten

September 18, 2017

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Kemenangan 3-1 ke atas Perak pada suku akhir pertama Piala Malaysia memberi kelebihan buat Pahang untuk melangkah ke pusingan seterusnya bagi merebut piala berprestij itu.

Kapten skuad Tok Gajah, Matthew Davies berkata, tiga gol diperoleh pada aksi hujung minggu lalu memberi harapan buat Pahang, walaupun sedar masih ada baki 90 minit untuk perlawanan kedua minggu depan.

Katanya, dia bersama rakan sepasukan akan mempamerkan persembahan konsisten pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, Sabtu ini.

“Bagi saya, tiga gol diraih cukup bermakna buat skuad Tok Gajah walaupun gagal menambah jaringan pada babak kedua… tapi, ia sememangnya memberikan kelebihan.

“Saya harap prestasi ini dapat dikekalkan untuk mencapai misi ke final paling utama, kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan apabila bertandang ke Perak, Sabtu ini,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli gembira kerana skuad Pahang mencatat kemenangan bermakna, biarpun lawan berjaya menjaringkan satu gol.

Katanya, bukan saja jentera pertahanan, malah bahagian tengah dan serangan perlu mengekalkan prestasi terbaik apabila bertemu Perak nanti.

“Sebagai pemain posisi pertahanan kami akan pastikan pemain Perak tidak dapat menembusi benteng (pertahanan) dan berharap pemain lain turut tampil dengan aksi bertenaga pada saingan suku akhir kedua kelak,” katanya.

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features