Disiplin pemain bantu Pahang mara ke suku akhir Piala FA

March 18, 2018

KETUA jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh menyifatkan disiplin kental anak buahnya antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pasukan itu menyingkirkan juara bertahan Kedah daripada saingan Piala FA dalam pertemuan peringkat ketiga di Stadium  Darul Makmur, di sini malam tadi.

Sekalipun bermula baik, rentak permainan Pahang terjejas apabila penyerang importnya Francis Forkey Doe dikeluarkan pada minit ke-11 perlawanan selepas mengalami kecederaan.

“Apabila Forkey terpaksa dikeluarkan, persembahan kita menurun tetapi disiplin para pemain membolehkan Pahang mencatat kemenangan ini,” kata Dollah kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pahang yang juga naib juara musim lalu  menang tipis 1-0 ke atas Kedah untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA.

Dollah turut mengakui sekalipun berjaya membolosi gawang Kedah pada minit ke-45, jelas skuad Lang Merah menguasai keseluruhan perlawanan.

“Namun disiplin itulah yang menyebabkan pemain kita tahu bila hendak bertahan dan bila mahu melakukan serangan sehingga mampu mengekang Kedah,” katanya.

Dollah juga berkata beberapa pemainnya bermain dalam keadaan cedera antaranya  Patrick Cruz dan Mohamadou Sumareh.

Sementara itu, Sumareh berkata dia dan rakan sepasukan turun beraksi menentang skuad Lang Merah dengan satu matlamat iaitu meraih kemenangan.

“Kami bermain dengan fokus untuk menang, ini dibantu dengan keserasian yang ada dalam kalangan para pemain.

“Bagi musim ini tiada sasaran yang lebih baik bagi kami daripada membawa pulang trofi Piala FA buat Pahang,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features