Doe nak telan Red Giants

February 19, 2018

Oleh : Asrol Awang

PENYERANG Pahang, Forkey Doe yang cemerlang pada penampilan pertama ketika membantu skuad Tok Gajah membenam Kelantan 3-0 pada pertembungan tetangga Pantai Timur, berazam mengekalkan prestasi terbaik itu.

Malah, semangat penyerang kelahiran Liberia itu pasti berkobar-kobar bagi membuktikan bisanya belum hilang menjelang pertemuan menentang bekas pasukannya musim lalu, Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Sabtu ini.

“Sudah pasti satu gol yang dijaringkan ketika menewaskan Kelantan memberi keyakinan kepada saya. Malah, saya pasti gembira sekiranya dapat terus merobek gawang lawan termasuk Selangor Sabtu ini,” kata penyerang berusia 33 tahun itu.

Menurut penyerang yang pernah muncul penjaring terbanyak Liga Super musim 2012 itu, dia amat berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan jurulatih, Dollah Salleh yang masih mempercayai kemampuannya.

“Mungkin ramai yang meragui kemampuan saya, apatah lagi dengan faktor usia saya. Namun, saya tekad membuktikan tanggapan itu salah sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan PBNP dan Dollah.

“Saya bukan sahaja berharap dapat membantu Pahang menjulang sekurang-kurangnya satu trofi tetapi juga muncul penjaring terbanyak musim ini,” katanya yang mengakui tidak bermasalah membentuk keserasian dengan rakan sepasukan.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features