Dollah berteka-teki cabar Melaka

July 19, 2019

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh dijangka menyenaraikan barisan kedua untuk berdepan Melaka United FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, segalanya perlu diperhalusi kerana skuad Tok Gajah mahu mengekalkan momentum kemenangan.

“Pada masa sama, kemantapan pasukan menjadi keutamaan sebagai persediaan menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bermula awal bulan depan.

“Sudah pasti saya mahu Pahang kekal dengan rentak kemenangan dan bagi memutuskan sama ada menyenaraikan barisan kedua belum dimuktamadkan.

“Memang kami sudah sah selaku naib juara Liga Super tetapi keputusan perlawanan perlu bagi menilai prestasi semasa pemain,” katanya.

Pada pertemuan dengan Selangor 25 Jun lalu, Dollah membariskan pemain simpanan selaku kesebelasan utama yang menyaksikan skuad itu tewas 2-5.

Dengan prestasi semasa, skuad Tok Gajah dijangka menyenaraikan kesebelasan utama sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Malaysia.

Ditanya peluang mengutip tiga mata di laman sendiri esok, Dollah tegas mahu pemainnya menamatkan saingan Liga Super dengan rekod kemenangan.

Katanya, kemenangan 3-1 ke atas FELDA United FC kelmarin, memberi motivasi terbaik untuk mengekalkan prestasi di Darul Makmur.

“Jentera serangan juga diminta lebih tajam untuk memastikan Melaka United pulang hampa,” katanya.

Artikel Asal : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/07/586901/dollah-berteka-teki-cabar-melaka


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(PM4)
Malaysia Cup
Darul Makmur Stadium, KUANTAN

(PM5)
Malaysia Cup
Perak Stadium, IPOH