Dollah harap Dickson tidak terus buntu, penting sebab nak hambat JDT

April 14, 2019

Oleh : Muhammad Aiman

Barisan depan Pahang dituntut tampil lebih tajam dan bermain lebih serius dalam setiap perlawanan jika pasukan itu berhasrat mencabar kedudukan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Jurulatih Dollah Salleh menuntut pemainnya tidak lagi mengulangi kesilapan sama sepertimana dilakukan ketika seri 1-1 menentang PJ City di Stadium Darulmakmur pada minggu lalu, apabila pasukannya itu bertandang ke Stadium Shah Alam untuk aksi kesembilan Liga Super menentang PKNS FC pada Ahad.

“Sudah beberapa perlawanan saya tengok kita mencipta peluang tetapi tak menyudahkan, macam lawan PJ City hari tu, kita hanya mula menekan selepas ketinggalan. Tidak cukup tenang di depan gol, tak sepatutnya berlaku, nak cabar JDT mana boleh main macam ini.

“Jika kita tidak mahu tercicir jauh di belakang JDT, kita kena pastikan dapat tiga mata dalam setiap perlawanan, saya harap Dickson akan kembali meledak. Dia sudah menjaringkan empat gol, penyerang utama, kita mengharapkan sesuatu yang lebih daripadanya.

“Risau juga sebab sudah lebih sebulan sejak dia menjaringkan gol jadi saya harap dia tidak terus buntu, ia penting untuk melonjakkan semula keyakinannya. Dalam masa sama pemain lain juga perlu memainkan peranan mereka dengan baik,” kata Dollah yang tidak akan bersama skuad tok gajah kerana sedang mengikuti kursus kejurulatihan diploma professional AFC di Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sehingga 17 April depan.

Sebagai rekod, Pahang ketika ini di tangga kedua liga dengan 18 mata, lima mata di belakang JDT yang mengukuhkan cengkaman mereka di kedudukan teratas menerusi kemenangan 1-0 ke atas PJ City pada Sabtu.

Artikel Asal :
https://www.foxsports.com.my/malaysia/73499/dollah-harap-dickson-tidak-terus-buntu-penting-sebab-nak-hambat-jdt/


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match