Dollah julang Doe

February 12, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Dollah Salleh mengaku kehadiran Forkey Doe dalam pasukan Pahang tepat pada masanya ketika skuad itu berdepan masalah ketumpulan di bahagian serangan.

Jurulatih Tok Gajah itu berkata, penyerang Liberia berkenaan membuktikan kehadirannya memberi kesan positif dalam skuad itu selepas Pahang gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan lalu.

Katanya, sumbangan yang diberi bekas penyerang Selangor itu juga banyak membantu Pahang dalam memperkasakan kembali jentera serangan yang tumpul.

“Saya gembira dengan komitmen tinggi yang dipersembahkan Doe walaupun dia baharu saja menyertai Pahang minggu ini kerana tahap kecergasan belum mencapai 100 peratus.

“Tapi dia berjaya beraksi selama 85 minit perlawanan dan membuktikan betapa pengalaman yang dimiliki dalam saingan Liga Malaysia memberi kelebihan,” katanya.

Mengulas kemenangan 3-0 ke atas Kelantan malam tadi, beliau gembira dengan keputusan itu selepas gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan lalu.

Katanya, kemenangan itu juga menyaksikan skuad Tok Gajah kembali berada pada prestasi terbaik sekali gus memberi cabaran kepada lawan.

“Saya percaya kemenangan pertama dalam saingan liga ini akan membantu pemain untuk beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Pada perlawanan ini juga dapat dilihat prestasi sebenar Pahang yang sebelum ini digeruni lawan dipersembahkan malam ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Doe pada minit ke-12, Mohamadou Sumareh (m-54) dan Nor Azam Azih (m-87).

Berita asal

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features