Dollah kagum aksi anak buah

March 11, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji barisan pemainnya selepas skuad itu membelasah Negeri Sembilan 4-0 pada aksi Liga Super, malam tadi.

Beliau berkata, kemenangan itu bukan sahaja melonjakkan kedudukan Tok Gajah di tangga kedua liga, sebaliknya persembahan terbaik yang dipamerkan anak buahnya setakat ini.

Katanya, keputusan itu juga membuktikan skuad kendaliannya mampu melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia musim ini bersandarkan kepada kemenangan itu.

“Kami buat apa yang dirancang dalam sesi latihan dan pemain mempamerkannya dalam perlawanan, sekali gus mengutip tiga mata di laman sendiri.

“Bagi saya, persembahan yang ditunjukkan pada malam ini (malam tadi) adalah yang terbaik setakat ini. Jika corak permainan seperti ini dikekalkan, saya rasa Pahang akan pergi lebih jauh,” katanya.

Mengulas kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan, beliau berterima kasih kepada pemainnya yang memanfaatkan segamat peluang yang dimiliki.

Katanya, walaupun pada awal permainan gagal untuk memberi tekanan kepada lawan, gol pendahuluan daripada Patrick Cruz pada minit ke-26 memberi suntikan semangat kepada pemain.

“Jaringan itu ternyata membantu dan hasilnya empat gol dijaringkan. Saya puji persembahan keseluruhan pasukan yang berjaya mengawal permainan dengan baik.

“Empat gol, masing-masing dua daripada Cruz dan Forkey Doe membuktikan sentuhan mereka berbisa dan melancarkan percaturan pasukan,” katanya.

Selepas lima perlawanan, skuad Tok Gajah menduduki tangga kedua liga dengan mengutip 10 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 12 mata.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features