Dollah pening pilih import

July 6, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Di sebalik kejayaan layak ke final Piala FA, Dollah Salleh kini dalam dilema untuk memilih empat import terbaik Pahang yang akan beraksi menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua jurulatih Pahang itu berkata, Patrick Cruz yang terlepas beraksi dalam beberapa perlawanan Piala FA dan Liga Super sudah kembali menjalani latihan selepas dibelenggu kecederaan.

“Biarpun perkembangan positif buat pasukan menjelang aksi final, ia memerlukan saya membuat keputusan terbaik kerana hanya empat import dibenarkan beraksi dalam saingan Piala FA.

“Sebenarnya seronok apabila semua pemain termasuk yang cedera sebelum ini kembali untuk kebaikan pasukan. Tapi, saya perlu membuat keputusan tepat untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik terutama empat import dalam memburu kejuaraan,” katanya.

Musim ini, skuad Pahang menyenaraikan lima import iaitu Cruz, Amutu, Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin dan Issey Nakajima.

Namun, berdasarkan prestasi dan tahap kecergasan, dijangka Cruz yang berasal dari Brazil itu bakal diketepikan untuk memastikan misi menebus duka final Piala FA musim lalu tercapai.

Ditanya persiapan skuad itu menghadapi Selangor, Dollah akan melakukan sebaik mungkin untuk memastikan kejuaraan milik skuad Tok Gajah. “Setakat ini, persiapan pasukan seperti biasa dan saya gembira dengan komitmen tinggi semua pemain demi memastikan kami muncul juara,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features