Dollah puas hati aksi Tok Gajah

March 12, 2017

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menewaskan Melaka United 2-0 dan mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA, dalam aksi malam tadi.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kemenangan itu sememangnya dinantikan bagi meneruskan misi mengucup piala berprestij berkenaan seperti yang pernah dilakukan Pahang pada 2014.

Walaupun pun persembahan dipamerkan pemain Tok Gajah tidak berada pada tahap terbaik, tetapi bagi Dollah, kejayaan mara ke saingan suku akhir cukup melegakannya.

“Saya bersyukur kerana Pahang dapat meneruskan perjalanan ke suku akhir dan tahniah kepada semua pemain tampil dengan persembahan baik.

“Apa yang diinginkan serba tidak menjadi terutama pada babak kedua perlawanan tetapi kemenangan ini membuatkan saya berpuas hati.

“Melaka juga memberi tekanan kepada kami, cuma mereka gagal menjaringkan gol, sebaliknya kita bangkit pada 10 minit terakhir untuk menjaringkan gol kedua lima minit sebelum perlawanan berakhir,” katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan Jaewon Heo menerusi sepakan penalti dan Nor Azam Azih pada minit ke-15 dan ke-85.

Dollah mengharapkan prestasi lebih baik dapat dipersembahkan pemainnya sebaik tempoh rehat saingan Liga Malaysia berakhir nanti.

“Begitu juga kecederaan yang dialami beberapa pemain juga diharap pulih sepanjang tempoh rehat,” katanya.

Sementara itu, pengendali MU, Eric Williams akur dengan kekalahan yang dialami ketika pemainnya berusaha untuk memberi tekanan kepada Pahang terutama pada babak kedua.

Katanya, kegagalan membolosi gawang tuan rumah menyebabkan misi ke suku akhir tidak menjadi kenyataan.

“Saya akur dan harap tempoh rehat panjang selepas ini dapat memperbaiki segala kelemahan yang masih ada dan kembali memberi saingan pada aksi seterusnya,” katanya.

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features