Dollah puji disiplin pemain

March 18, 2018

Oleh : Asrol Awang

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh memuji disiplin tinggi ditunjukkan pemainnya selepas menewaskan juara bertahan, Kedah pada pusingan ketiga Piala FA, malam tadi.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kejayaan skuad Tok Gajah layak ke suku akhir begitu bermakna sekali gus mencerahkan peluang untuk menjulang trofi berprestij itu.

Malah, katanya, kemenangan itu juga menebus kembali kekecewaan apabila tewas kepada skuad Helang Merah 2-3 pada aksi final musim lalu.

“Sudah pasti kemenangan ini menambah lagi keyakinan pasukan untuk menjulang kejuaraan musim ini kerana Piala FA antara piala yang diidamkan.

“Kami akan pastikan misi bergelar juara menjadi kenyataan,” katanya sejurus tamat perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan tumpuan itu, jaringan pemain import Gambia, Mohamadou Sumareh pada hujung babak pertama memisahkan kedua-dua pasukan.

Mengulas kemenangan tipis 1-0 itu, Dollah mengakui ketiadaan Forkey Doe yang terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-10 memberi kesan terhadap percaturan pasukan.

Katanya, segalanya serba tidak menjadi dan skuadnya bermain di bawah keupayaan sebenar hingga lawan dilihat lebih mendominasi perlawanan.

“Bagaimanapun, saya beri kepujian kepada semua pemain kerana mereka dapat kekalkan disiplin dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Ketika kedudukan 1-0, saya akui tidak senang duduk kerana Patrick Cruz dan Sumareh juga mengalami kecederaan tapi masih mampu beraksi.

“Malah saya juga terpaksa berhati-hati untuk membuat pertukaran pemain kerana bimbang ia memberi kesan terhadap corak permainan,” katanya yang berharap kecederaan Forkey Doe tidak serius.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features