Dollah tuntut kekal momentum

September 19, 2019

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh gembira dengan kebangkitan anak buahnya ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang pada aksi terakhir Kumpulan C Piala Malaysia, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu menebus kekalahan 3-1 di tangan Perak ketika skuad Tok Gajah gah dengan empat kemenangan berturut-turut.

“Memang kemenangan malam ini tidak mengubah kedudukan selaku juara kumpulan tetapi ia lebih bermakna untuk mengembalikan momentum,” kata Dollah.

“Selain itu, ia juga lebih kepada persefahaman dan corak permainan sebenar untuk berdepan saingan lebih getir pada aksi suku akhir nanti.”

Selaku juara Kumpulan C, Pahang akan bertemu Melaka United yang muncul naib juara Kumpulan D.

Saingan itu dijangka menarik kerana kedua-dua jurulatih pernah bergandingan ketika membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2013.

Pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super musim ini menyaksikan skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 4-1 dan seri  1-1.

Namun, Dollah perlu lebih berwaspada berikutan prestasi kian meningkat yang dipersembahkan anak buah Zainal Abidin Hassan.

Artikel Asal : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/09/608754/dollah-tuntut-kekal-momentum


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match