Faisal enggan biar episod duka Pahang berulang

September 25, 2019

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pemain tengah Pahang, Faisal Abdul Halim mengakui sejarah dalam permainan bola sepak sebelum ini membuktikan kelebihan gol yang dimiliki sesebuah pasukan dalam sesuatu pertandingan tidak selalunya berakhir dengan kegembiraan.

Justeru, pemain berasal dari Pulau Pinang itu tidak mahu episod duka seperti itu berulang lagi ke atas mereka sebagaimana ketika saingan separuh akhir Piala FA sebelum ini apabila tewas 3-4 kepada Perak meskipun mendahului 3-1 pada aksi pertama.

“Biarpun mencatat kemenangan 3-1 di laman sendiri tetapi kelebihan itu tidak dapat dipertahankan ketika bertandang di Ipoh sehingga terlepas peluang mempertahankan Piala FA. Kekecewaan itu masih lagi dirasai sehingga kini.

“Justeru, bagi menebus kesilapan itu, kami perlu menang ke atas Melaka United (MU) Ahad ini,” katanya mengulas pertemuan kedua menentang MU dalam saingan suku akhir Piala Malaysia dengan berbekalkan kelebihan tiga gol tanpa balas ke atas lawan itu.

Mengulas lanjut, Faisal berkata kemenangan 3-0 pada suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat itu bukan jaminan seratus peratus Pahang akan mara ke separuh akhir kerana perlawanan masih lagi berbaki 90 minit pada aksi kedua di laman sendiri.

“Ia belum dimuktamadkan lagi. Kami perlu bekerja keras dan meneruskan momentum kemenangan untuk menafikan lawan daripada mengisi slot empat pasukan terbaik,” katanya.

Mengulas masalah dalaman yang membelenggu MU, Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey mahu rakan sepasukan tidak mengganggap ia memberi kelebihan kepada skuad Tok Gajah menjelang aksi kedua suku akhir Piala Malaysia itu.

Sebaliknya, katanya, skuad itu perlu kekal konsisten untuk memastikan misi menjulang piala berprestij itu musim ini menjadi kenyataan.

“Memang benar lawan dilihat berdepan masalah dalaman ketika ini tetapi kami tidak boleh sambil lewa. Malah perlu menang sebagai motivasi dalam saingan separuh akhir nanti. Saya percaya dengan sokongan padu peminat setia Tok Gajah, misi separuh akhir akan tercapai,” katanya.

Artikel Asal : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/09/610822/faisal-enggan-biar-episod-duka-pahang-berulang


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match