Forkey Doe Bantu Pahang Catat Kemenangan Sulung

February 11, 2018

KEMASUKAN pemain Import, Francis Forkey Doe dalam skuad Pahang berjaya membawa angin perubahan kepada pasukan gergasi pantai timur itu apabila mereka berjaya melakar kemenangan sulung pada saingan Liga Super malam semalam.

Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, beliau sudah dapat menjangkakan kebangkitan skuad kendaliannya ketika bertemu PKNS FC lagi namun ia menjadi lebih sempurna dengan kehadiran penyerang dari Liberia itu.

“Pada perlawanan menentang PKNS FC kita telah melakukan 70 peratus serangan tapi malangnya gagal untuk mendapatkan penyudah.

“Aksi bertemu Kelantan pada malam ini begitu berbeza kerana apabila¬† Pahang menyerang kita sentiasa hampir memperoleh gol.

“Kehadiran Francis Forkey Doe banyak membantu jentera serangan dan hasilnya kita berjaya menjaringkan tiga gol sekali gus meraih tiga mata penuh,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dollah berkata beliau pada mulanya agak sangsi dengan kecergasan pemain import baharu Pahang itu namun dia telah membuktikan keupayaan sebenarnya di atas padang.

“Saya khuatir kerana Forkey sudah lama tidak menjalani latihan tapi nampaknya dia dapat bertahan sehingga 80 minit permainan.

“Waktu rehat selama dua minggu ini akan digunakan untuk memantapkan kecergasan Forkey dan saya percaya Pahang bakal beraksi dengan lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya.

Pemangku Ketua Jurulatih The Red Warriors, Sathit Bensoh berkata perlawanan malam tadi dilihat sukar dan ia menyebabkan pemainnya hilang keyakinan beraksi di gelanggang lawan.

“Saya tidak tertekan dengan keputusan perlawanan malam ini tetapi saya pasti semua pihak tidak berpuas hati dengan kekalahan.

“Bagi perlawanan menentang Perak pada 24 hari bulan nanti, saya cuba meningkatkan kembali prestasi, semangat dan keyakinan pemain untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Forkey Doe berkata dia sangat gembira kerana mampu membantu pasukan baharunya mencatat kemenangan di halaman sendiri walaupun pertama kali diturunkan.

“Saya suka bermain bersama Pahang kerana terdapat keserasian dalam kalangan pemain selain penyokong mereka yang hebat memberi sokongan.

“Sasaran saya pada musim ini ialah untuk membantu rakan sepasukan membawa pulang satu piala untuk Pahang dan mendapatkan kasut emas,” katanya.

Berita Asal

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features