Gol Issey dan Matyo sumbang mata raya

June 20, 2018

Issey Nakajima membuktikan kepada peminat bahawa pemilihannya selaku pemain import menggantikan Chan Vathanaka adalah berbaloi setelah meledak dua gol untuk membolehkan Pahang memungut 3 mata berharga bagi terus memberi saingan kepada Perak di tangga kedua dalam perlawanan Unifi Liga Super 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Gandingan pemain import kelahiran Jepun itu bersama dengan Norshahrul Idlan Talha nyata menjadi setelah turut menghasilkan gol kedua setelah kecederaan Patrick Cruz yang masih belum sembuh menghantui jentera serangan Pahang sebelum ini.

Ini adalah kali kedua Dollah Salleh mencuba gandingan Matyo dan Issey setelah melakukannya semasa perlawanan menentang Johor DT di Kuantan sebelum ini dengan dua pemain tengah yang digantung perlawanan iaitu Norazam Azih dan Safuwan Baharuddin kembali mengisi kesebelasan utama.

Bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan, Pahang berjaya mendahului pada minit ke 7 apabila Issey menjaringkan gol pertama dengan melakukan satu rembatan cantik dari luar kotak penalti setelah menerima umpanan Sumareh yang menyebabkan penjaga gol tuan rumah hanya terpaku memerhati.

Pahang sepatutnya dapat melebarkan kedudukan setelah memperolehi sepakan penalti pada minit-minit akhir separuh masa kedua apabila Issey dijatuhkan pertahanan Negeri Sembilan di dalam kotak penalti tetapi Issey yang mengambil sendiri sepakan penalti itu menyepak tinggi bola melepasi palang.

Gol kedua Pahang bagaimanapun muncul pada separuh masa kedua pada minit ke 65 setelah Matyo berjaya memperdayakan beberapa pertahanan Negeri Sembilan untuk mengumpan kepada Issey yang melepasi perangkap offside sebelum itu dan kemudiannya mudah menewaskan Ilham untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Matyo kemudiannya melebarkan kedudukan kepada 3-0 tujuh minit kemudian setelah menampan bola hantaran dari Safuwan berpunca dari satu gerakan selepas dari sepakan sudut yang diambil dari Norazam Azih.

Negeri Sembilan bagaimanapun mendapat gol saguhati melalui tandukan Fauzan Zulkifli setelah melakukan gerakan serangan balas bersama Fakhrul Aiman pada minit ke 84.

Kemenangan ini bagaimanapun tidak mengubah kedudukan di tangga kedua dan ketiga setelah Perak seri menentang Selangor manakala dua lagi pasukan hanya akan bermain pada malam ini.

Pahang selepas ini akan menentang PKNP FC untuk saingan separuh akhir Shopee Piala FA pada hari Sabtu di tempat sendiri dan kemudian menanti kunjungan Selangor dalam saingan Unifi Liga Super juga di tempat sendiri pada Selasa.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features