Imbuhan nanti pemain Pahang

July 8, 2018

Oleh : Nik Amirulmu’minin Nik Min

PIHAK pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mempertimbangkan imbuhan sewajarnya kepada pemain atas kemenangan pasukan itu muncul Juara Piala FA 2018.

Pasukan Tok Gajah itu menundukkan Selangor 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pengurus Pasukan Pahang, Datuk  Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, bagaimanapun jumlahnya imbuhan itu belum diputuskan setakat ini.

Menurutnya, majlis meraikan kemenangan pasukan Tok Gajah itu akan ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan bagi memberi laluan kepada perlawanan Liga Super menentang PKNP, Rabu ini.

“Insya-ALLAH piala akan dibawa balik ke Kuantan hari ini bagaimanapun sambutannya akan ditangguhkan dulu.

“Sekarang ini pemain diberi rehat sehingga Isnin ini sebelum masuk ke kem latihan pada Selasa bagi persiapan perlawanan menentang PKNP,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammed Suffian berkata, pemain perlu fokus kepada perlawanan itu sebelum diraikan untuk kejayaan mereka malam tadi.

“Saya amat teruja dan gembira dengan kejayaan pasukan mengulangi sejarah yang dilakar pada 2014.

‘Allhamdulillah, atas semangat dan kesungguhan pemain, kita berjaya membawa pulang kembali Piala FA tahun ini,”katanya.

Beliau berkata, corak permainan yang ditunjukkan pemain Pahang pada perlawanan malam tadi cukup baik apabila  semua pemain di setiap posisi tahu peranan masing-masing.

“ Kita memang berhak menang dan pada masa sama, pemin juga perlu bersedia untuk melakar kemenangan seterusnya pada perlawanan selepas ini.

“Pada masa sama, saya menghargai semangat dan sokongan penyokong yang sanggup datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan kepada pemain Pahang,”katanya.

Pasukan Tok Gajah di bawah kendalian Ketua Jurulatih, Dollah Salleh berjaya menebus kekalahan di tangan Kedah  pada aksi final Piala FA tahun lalu apabila beraksi cemerlang dengan meraih dua gol hasil jaringan Nor Azam Azih pada  minit ke-22 dan rembatan Patrick Cruz menyempurnakan penalti pada minit ke-57.

Jaringan dua gol itu sekaligus meletakkan Selangor selaku naib juara.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features