Jangan kecil hati jika tidak disenarai

March 8, 2017

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh, berharap tiada rasa kecil hati bersarang dalam hati pemain yang tidak tersenarai sebagai kesebelasan utama skuad Tok Gajah.

Bekas jurulatih kebangsaan itu menegaskan sudah memilih pemain paling terbaik dan sedia diturunkan dalam kesebelasan utama setiap kali Pahang beraksi.

“Senarai (kesebelasan utama) ini bukan saya seorang putuskan, kita berbincang dengan semua dalam kumpulan teknikal dan kejurulatihan skuad Pahang termasuk Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

“Bukan mudah nak buat keputusan menyenaraikan pemain.

Ada kalanya saya dalam dilema kerana mereka sentiasa menunjukkan komitmen dan semangat tinggi.

“Sebagai contoh, Kiko Insa dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sudah pulih daripada kecederaan dan pada masa sama, Nor Azam Azih serta Christie Jayaseelan juga tampil dengan prestasi terbaik dalam perlawanan baru-baru ini.

“Semua ini memeningkan saya membuat keputusan,” katanya selepas majlis bersama pegawai PBNP dan pemain Pahang, malam tadi.

Dollah yang membantu Pahang menjulang Piala Malaysia pada 2013 berkata, dua lagi pemain iaitu Ahmad Syamim Yahya dan Afif Aminuddin pernah menyuarakan kebimbangan jika ditimpa kecederaan dan posisi itu diambil alih pemain lain.

Katanya, komitmen tinggi pemain terbabit membuktikan mereka memberikan segala-galanya terhadap pasukan untuk memastikan kemenangan.

“Saya lihat Muslim Ahmad, Joseph Kalang Tie dan semua pemain menunggu peluang berada dalam kesebelasan utama dan apa yang menggembirakan mereka memberikan segala-galanya bagi membuktikan mereka adalah terbaik buat pasukan,” katanya

Berita asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features