Jaringan Faisal julang Pahang

June 3, 2018

Gol pada minit-minit terakhir pemain gantian Faisal Halim menceriakan kem Pahang untuk pulang membawa 3 mata penuh dalam saingan Unifi Liga Super Malaysia di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Ini adalah jaringan ketiga Faisal sepanjang musim ini dan juga kali ketiga beliau menjaringkan gol pada masa tambahan setelah melakukannya semasa menentang Melaka United dan Terengganu sebelum ini.

Dollah Salleh pada perlawanan ini menampilkan taktikal berbeza apabila menurunkan Faisal Rosli dan Matthew Davies sebagai pemain sayap manakala R Dinesh dan Zubir Azmi mengambil tempat mereka.

Iwuji Amutu dan Issey kekal sebagai gandingan serangan manakala Sumareh yang dikhabarkan tidak cergas sebelum ini diletakkan di bangku simpanan.

Pahang bagaimanapun tersentak apabila PKNP FC mendahului seawal minit ke 2 setelah tendangan sudut yang diperolehi mereka di sambut Ritus Krjauklis dengan rembatan leret yang terkena kaki Safuwan sebelum menerjah masuk gayang Pahang yang dikawal Helmi Eliza.

Tidak mahu pulang dengan tangan kosong, Pahang memperkemaskan permainan untuk terus melakukan serangan bertali arus tetapi gagal sehingga tamat separuh masa pertama dengan percubaan terbaik mereka adalah melalui Iwuji setelah tandukannya terkena tiang setelah mendapat hantaran dari Dinesh.

Di separuh masa kedua, Pahang akhirnya menyamakan kedudukan pada mnit ke 71 setelah pemain gantian Mohamadou Sumareh yang masuk menggantikan Faisal Rosli menanduk masuk bola sepakan percuma Nor Azam menewaskan Asyraaf Omar.

Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, semasa masa tambahan seorang lagi pemain gantian Faisal Halim melakukan larian solo dengan membawa bola ke dalam kotak penalti dari tepi padang untuk menewaskan beberapa pertahanan PKNP sebelum merembat rendah untuk menjadikan kedudukan 2-1 berpihak kepada pelawat.

Kemenangan ini membolehkan Pahang memintas Perak di tangga kedua dengan hanya berbeza 1 mata setelah The Bos Gaurus tewas di tangan pendahulu liga Johor DT di Larkin.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features