JDT sekat Pahang rampas takhta liga

April 29, 2019

Hasrat Pahang untuk merampas takhta Liga Super malam tadi tidak kesampaian apabila disekat pendahulunya Johor DT dalam perlawanan yang berlangsung di Kuantan mlm tadi.

Harold Goulon sekali menunjukkan kualitinya apabila berjaya menjadi penyelamat kepada Pahang apabila gol jaringannya pada separuh masa pertama berjaya memadamkan jaringan pendahuluan Cabrera pada minit awal permainan.

Pahang yang kehilangan dua tonggak tengah iaitu Norazam Azih yang digantung perlawanan serta Safuwan Baharuddin yang cedera bermula dengan Salomon Raj dan Wan Zaharulnizam sebagai pengganti kedua-dua pemain tersebut.

Dickson Nwakaeme yang tersisih sebelum ini akibat cedera kembali mengisi kesebelasan utama bersama Saddil Ramdani yang menyaksikan Norshahrul Idlan Talha bermula dari bangku simpanan.

Johor DT bagaimanapun mengejutkan tuan rumah apabila Leandro menamfaatkan kesilapan Muslim Ahmad yang melakukan sepakan lemah ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk mencari Cabrera yang menewaskan beberapa pertahanan Pahang sebelum mudah memperdayakan Helmi Eliza di gawang Pahang.

Gol itu tidak melemahkan semangat Pahang sebaliknya mereka melakukan asakan bertali arus untuk mencari gol pernyamaan dan berhasil apabila sepakan percuma Saddil Ramdani berjaya disambut Harold Goulon dengan tandukan untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1.

Ada drama sebelum pengadil meniupkan wisel separuh masa kedua apabila Mauritio yang menerima kad kuning sebelum ini dilayangkan kad kuning kedua setelah mengasari Dickson Nwakaeme.

Bermain dengan 10 orang pada separuh masa kedua tidak mematahkan semangat Johor DT yang mempunyai beberapa peluang termasuk melalui Safawi namun bola beliau yang terkena palang sebelum itu hanya singgah di atas garisan gol.

Pahang pula hanya mempunyai satu peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan melalui Zuhair Aizat yang menyepak bola melepasi palang walaupun Farizal Marlias sudah pun terkeluar dari posisinya.

Perlawanan kekal dengan keputusan 1-1 hingga tamat masa penuh dengan Johor DT kekal di tangga teratas mengatasi Pahang dengan 2 mata setelah tamat pusingan pertama Liga Super Malaysia.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match