Kaimbi harus bukti kemampuan di Darul Aman

June 10, 2019

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu pemain import baharu mereka, Lazarus Kaimbi membuktikan kemampuan pada aksi bertemu Kedah pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.

Katanya, keputusan skuad Tok Gajah mengikat pemain kelahiran Namibia itu dibuat selepas menilai prestasi bekas pemain Kelantan berkenaan dan berharap tindakan menandatanganinya pada perpindahan terbaharu berbaloi.

“Kita ada sedikit masalah di bahagian serangan, jadi kita pilih dia (Kaimbi) untuk memperbaiki jentera serangan. Sekarang ini, dia perlu buktikan keputusan Pahang memilih dia bukan satu kesilapan.

“Memang kita akui jentera serangan Tok Gajah agak tumpul selepas Dickson Nwakaeme bergelut dengan kecederaan. Jadi, kita harap semua pemain dapat kembali menemui rentak selepas berehat kira-kira dua minggu,” katanya.

Mohammed Suffian berkata, kemampuan Kaimbi yang pernah beraksi dengan Bangkok Glass, Chiangrai United dan Suphanburi hanya bakal diuji Jumaat ini dan berharap pemain itu tidak mensia-siakan peluang berkenaan.

“Saya percaya semua pemain dan penyokong setia Pahang tidak sabar menyaksikan kelincahan Kaimbi. Jadi kita harap gandingan Kaimbi dan Nwakaeme mampu menggegar Stadium Darul Aman hujung minggu ini.

Kaimbi menggantikan Jose Eduardo atau Ze Love dari Brazil yang gagal mempamerkan prestasi membanggakan untuk memperkuatkan jentera serangan Tok Gajah.

Artikel Asal : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/06/572742/kaimbi-harus-bukti-kemampuan-di-darul-aman


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(PM4)
Malaysia Cup
Darul Makmur Stadium, KUANTAN

(PM5)
Malaysia Cup
Perak Stadium, IPOH