‘Kan Forkey Doe dah pesan…’

February 25, 2018

Oleh : Syafiq Aznan

PERCATURAN pengendali Pahang, Dollah Salleh untuk menurunkan Francis Forkey Doe nyata berbaloi selepas penyerang Liberia itu meledak dua gol untuk membantu Pahang membenam Selangor malam tadi.

Jelas bekas pengendali skuad kebangsaan itu, ‘orang lama’ Liga Malaysia (Liga M) itu sebenarnya mengalami kecederaan terseliuh buku lali sehingga terpaksa diketepikan pada sesi latihan sehari sebelum aksi bertemu The Red Giants.

“Walaupun mengalami kecederaan namun Forkey Doe tetap bersemangat untuk bermain dan dia menunjukkan malam ini (malam tadi) betapa dia layak untuk berada dalam kesebelasan utama.

 “Dengan prestasi cemerlangnya buat masa ini, itulah yang kita harapkan selepas pasukan bergelut dengan masalah penyerang pada awal musim sebelum ini.

“Bukan sahaja Forkey Doe malah Patrick Cruz juga menunjukkan keserasian yang baik. Jadi saya boleh kira ramuan sudah menjadi dan ia dibuktikan menerusi kemenangan yang kami raih,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi, anak buah Dollah meneruskan rekod cemerlang ke atas Selangor apabila meraih kemenangan 3-1 dengan ‘budak baharu’, Cruz turut mencetak nama selaku penjaring gol pertama skuad Tok Gajah.

Mengulas lanjut aksi bertemu skuad The Red Giants itu, Dollah menyifatkan anak buahnya berjaya memperagakan corak permainan yang dimahukan selepas mereka masih tercari-cari kombinasi terbaik dalam beberapa perlawanan terdahulu.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pemain dan inilah sebenarnya corak permainan yang saya harapkan. Jadi ia terbukti pada perlawanan malam ini (malam tadi).

“Apabila semua pemain memainkan peranan masing-masing dan mencipta keserasian yang lebih baik maka semua yang kita mahukan akan menjadi di atas padang,” katanya.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features