Kedudukan Pahang belum terjamin

April 3, 2017

Oleh : Mohd Shofi Mat Isa

KUANTAN 2 April – Kejayaan Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi dengan kelebihan dua gol belum menjamin kedudukan mereka dalam separuh akhir Piala FA, kata Dollah Salleh.

Bekas jurulatih kebangsaan itu juga menganggap perlawanan malam tadi dimenangi pasukannya kerana pemain-pemain tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol meskipun mereka tidak beraksi pada tahap sebenar dan perlawanan lebih banyak dikuasai oleh pelawat.

Pahang menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri dalam suku akhir pertama dengan mencipta kemenangan 3-1 hasil jaringan Ahmad Syamim Yahya (minit ke-13), Matheus Alves (minit ke-46) dan Chinedu Dike (minit ke-66), manakala gol tunggal JDT dijaringkan oleh Marcos Antonio pada minit ke-21.

“Kami tidak bermain dengan baik pada malam ini (semalam) dan JDT dilihat lebih menguasai permainan dan kemenangan ini satu bonus atas kelebihan pemain yang tidak mensia-siakan peluang atas kesilapan pasukan lawan.

“Kita masih ada 90 minit lagi masa perlawanan dengan JDT dan itu bukan satu jalan mudah. Bagaimanapun keputusan kali ini amat membanggakan meskipun persembahan jauh berbeza dengan apa yang selalu dipamerkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Malah, jurulatih Tok Gajah itu menganggap satu gol yang berjaya dijaringkan JDT di Stadium Darul Makmur bermakna Harimau Selatan yang memiliki kelebihan untuk pertemuan kedua di Johor Bahru pada 23 April nanti, gelanggang di mana mereka belum kalah sejak musim lalu.

“Secara keseluruhannya, me­­­re­ka (pemain Pahang) mempamerkan aksi yang baik, namun masih banyak yang perlu dibaiki sebelum ke Larkin. Saya tidak menafikan sokongan padu penyokong Tok Gajah banyak membantu meningkatkan semangat pemain.

“Untuk suku akhir kedua, saya harap pemain bersedia dari aspek mental dan fizikal kerana kita bukan saja berdepan dengan skuad Harimau Selatan, tapi bakal berdepan penyokong setia di gelanggang mereka,” katanya.

Sementara itu, jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata beliau dan pembantunya akan meneliti kesilapan dilakukan pemainnya di Stadium Darul Makmur untuk diperbaiki sebelum perlawanan suku akhir kedua di Larkin.

Jurulatih dari Mexico itu menegaskan, dia akan memastikan bahawa pertemuan semula antara JDT dan Pahang akan berpihak kepada mereka.

Berita asal.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features