Kuantan julang kejuaraan

November 5, 2018

Kuantan FA tiada masalah untuk mengekalkan rentak cemerlang mereka apabila mudah mengatasi Jerantut FA 5-1 untuk mudah bergelar juara Piala KDYMM Sultan Pahang untuk edisi 2018 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Sabtu.

Jerantut FA yang juga juara bertahan gagal mengekal kehebatan Kuantan FA walaupun sebelum ini seolah-olah tiada masalah bermain di padang sintetik apabila menewaskan Temerloh 6-2 pada aksi di separuh akhir pertama di stadium yang sama.

Jerantut FA bagaimanapun terlebih dahulu mengancam Kuantan FA apabila menjaringkan gol pendahuluan seawal minit ke 5 melalui Mohd Norhafiz namun dibalas oleh gol-gol Kuantan FA yang dijaringkan oleh Ammar Anuwar pada minit ke-44 dan 56,  Rasaizal Samsuddin (45′ dan 90′) dan juga Ahmad Nursyahmi (61′)

Selain menjulang kejuaraan, Kuantan FA juga melakarkan rekod kemenangan 100% dalam kejohanan ini berlangsung semenjak ianya bermula pada 8 Oktober 2018.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Johari Husain.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah.

Selaku Juara Kuantan FA menerima hadiah wang tunai RM17,000, beserta piala pusingan, piala iringan serta medal manakala Jerantut FA menerima hadiah wang tunai sebanyak RM12,000 beserta medal.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features