Macam kisah dongeng: Dollah Salleh

April 27, 2017

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Dollah Salleh mempertikaikan keputusan gantung satu perlawanan dan denda RM3,000 ke atas penyerang import Pahang, Mohamaodu Sumareh dan menganggapnya sebagai tidak logik serta tidak sepatutnya berlaku.

Ketua Jurulatih skuad Tok Gajah ini berkata, pemain import skuad Tok Gajah dari Gambia itu tidak melakukan kesalahan, sebaliknya Sumareh menjadi mangsa apabila diterjah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir kedua Piala FA.

“Ini satu penganiayaan kepada Sumareh, saya tidak tahu apa kesalahan dilakukan dan punca dia (Sumareh) dikenakan tindakan itu.

“Jika tengok semula video (perlawanan), pengadil bertugas tidak melayangkan kad tapi Jawatankuasa Tatetertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula yang jatuhkan hukuman.

“Sudah macam cerita dongeng, orang yang tidak bersalah kena hukum, saya tidak puas hati dengan hukuman ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super antara Pahang dan FELDA United di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Pahang mencatat keputusan seri 1-1.

Ketika ditanya kemungkinan pihaknya akan meminta penjelasan daripada FAM, Dollah berkata, sepatutnya FAM yang memberi penjelasan.

“Buat apa kita minta (penjelasan), sepatutnya mereka (FAM) yang jelaskan kepada kita sebelum buat keputusan.

“Apa yang kita persoalkan, kenapa orang yang tidak bersalah dihukum, mangsa (Sumareh) kena hukum dan dipersalahkan,” katanya.

Sumareh juga mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai hukuman FAM itu dan kecewa dengan keputusan yang dibuat.

“Saya kecewa kerana dihukum atas kesalahan yang jelas bukan berpunca daripada tindakan saya ini akan mengganggu persiapan kami berdepan Negeri Sembilan di separuh akhir (Piala FA) hujung minggu ini,” katanya.

Selasa lalu, empat pemain Liga Super, termasuk Sumareh digantung satu perlawanan dan dikenakan denda RM3,000 oleh FAM atas kesalahan melakukan terjahan keras. Sumareh akan terlepas aksi separuh akhir pertama bertemu Negeri Sembilan Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, berkata empat pemain terbabit didapati bersalah atas kesalahan melakukan terjahan dan keputusan dibuat mengikut peruntukan dalam Artikel 81 badan induk itu.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features