Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki – Zerry

February 22, 2018

Ketua Jurulatih Pasukan Belia Pahang B19, Mohd Zerry Nazeri tetap berpuas hati dengan permainan yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya walaupun mengakui masih banyak kelemahan yang perlu segera diperbaiki bagi menghadapi lebih banyak perlawanan liga yang baru sahaja bermula semalam.

Menang ke atas Selangor B19 dengan jaringan tunggal Khairudin Mat Yaman pada minit ke 41 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Mini Universiti Islam Antarabangsa Indera Mahkota, Kuantan petang semalam, Zerry nyata gembira berjaya dengan ‘langkah kanan’ dalam saingan Piala Belia pada musim ini.

“Saya akui masih ada kelemahan dalam mutu permainan pemain-pemain muda ini dan mereka ini kebanyakkannya mempunyai masalah teknikal dan itu yang saya cuba betulkan ketika ini.

Selain itu, mereka ini juga ada lagi kekurangan teknik dan taktikal dengan kelemahan yang paling ketara adalah di bahagian serangan.

Ini antara elemen-elemen yang saya perlu perbaiki untuk menyediakan pasukan mantap bagi menghadapi perlawanan-perlawanan yang mendatang.

Untuk perlawanan pada hari ini (semalam), kami hanya dapat satu peluang untuk menjaringkan gol dan pemain saya berjaya menterjemahkannya kepada gol.

Pemain saya juga hilang tempo permainan selepas mendahului pasukan lawan tetapi berjaya juga mendapat kembali rentak dalam 10 minit terakhir perlawanan.

Saya berpuas hati dengan kemenangan kali ini dan sangat-sangat berterima kasih pada pemain-pemain saya.”

Beliau juga mensasarkan untuk layak sehingga peringkat kalah mati pada saingan kali ini bagi menebus kehampaan tahun lalu yang mana pasukan Belia Pahang hanya menduduki tangga tercorot sekaligus gagal layak ke peringkat seterusnya.

“Sasaran saya adalah layak ke peringkat kalah mati untuk permulaan ini namun saya lebih suka melihat kepada perlawanan ke perlawanan dan untuk tujuan itu saya kena memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dilakukan oleh anak-anak buah saya kerana itu penting untuk mencapai sasaran awal pasukan.”

Pasukan Belia Pahang B19 selepas ini akan berkunjung ke Ibu kota Kuala Lumpur bagi perlawanan seterusnya untuk menentang Pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B16 bimbingan Haris Lajid pada Ahad, 25 Februari 2018 di Padang D, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

 

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features