Mat Yo kembali dapat rentak

July 15, 2018

Oleh : Azizan Hashim

IPOH: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mampu tersenyum lebar kerana penyerangnya Norshahrul Idlan Talaha sudah mendapat kembali rentak sejak kebelakangan ini.

Pemain kelahiran Terengganu yang lebih dikenali sebagai Mat Yo sebelum ini tenggelam dan hampir dilupakan peminat tempatan tetapi kini mula menyerlahkan aksi bertenaga.

“Saya gembira untuk Mat Yo apabila sudah mendapat kembali sentuhannya sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini,” kata Dollah.

Pemain itu yang tampak lebih cergas dan memiliki susuk tubuh lebih kecil berbanding sebelum ini menunjukkan kehebatannya dengan menyumbang gol pembukaan Pahang ketika seri 1-1 dengan Perak, malam tadi.

Malah Mat Yo hampir meledak gol kemenangan Tok Gajah pada minit ke-83 tetapi rembatannya dari sudut sukar terkena tiang selepas menggelecek benteng Perak termasuk penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim.

Menurut Dollah, kata-kata nasihat dan perangsang diberikannya kepada bekas penyerang kebangsaan itu berjaya mengembalikan keyakinan Mat Yo.

“Dia bekerja keras untuk mengembalikan keyakinan diri dan keupayaannya. Kerja kerasnya nyata berbaloi dan saya berharap dia dapat mengekalkan persembahan cemerlangnya ini,” katanya.

Dollah berkata, penjaga gol, Helmi Eliza Elias juga menunjukkan keyakinan diri tinggi.

Menurutnya, setakat ini dia belum dapat menurunkan kesebelasan utama kerana pemain seperti Azmi Muslim, Faisal Rosli dan Patrick Cruz masih mengalami kecederaan.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features