Matthew Davies bawa Pahang ke suku akhir

April 18, 2019

Gol tunggal jaringan Matthew Davies sudah cukup untuk membawa Pahang ke suku akhir Shopee Piala FA dalam perlawanan yang berlangsung di Cheras malam tadi.

Turun sebagai pilihan utama untuk layak ke peringkat seterusnya, Dollah tidak memandang rendah keupayaan UKM FC dengan menurunkan barisan pemain yang sama ketika menang dengan PKNS FC di Shah Alam pada Ahad.

Perlawanan seperti dijangka dikuasai penuh oleh pasukan Pahang sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan dengan Pahang melancarkan serangan bertali arus ke kubu UKM FC tetapi gagal sehingga tamat separuh masa pertama.

Pahang yang mahukan kemenangan terus mencuba untuk memecah kebuntuan tetapi ketumpulan jentera serangan nyata mengecewakan dengan UKM FC kadang kala mengambil kesempatan melakukan serangan balas ke atas Pahang.

Gol yang dicari akhirnya muncul setelah Matthew Davies yang bermain dengan Safuwan Baharuddin di sebelah kanan padang cuba melakukan hantaran ke dalam kotak penalti pada minit ke 84 untuk mencari rakan.

Namun, bola hantarannya gagal disambar Ze Love tetapi sebaliknya bola tersebut terus menerjah gawang kerana kesilapan penjaga gol UKM FC, Khatul Anuar yang tersilap membaca pergerakan bola tersebut.

Gol itu kekal hingga ke wisel penamat untuk Pahang berjaya untk meneruskan misi mempertahankan Piala FA yang dimenanginya pada musim 2018 menewaskan Selangor.

Lawan Pahang untuk peringkat suku akhir akan terjawab pada petang ini apabila sesi undian akan dilakukan yang akan dijalankan secara langsung oleh MFL.


Comments

  1. Azoul Karl Iskandar - April 18, 2019 at 11:22 am

    Tahniah Pasukan Tok Gajah kerna dpt kelayakan ke suku akhir

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(LS15)
Super League
Darul Makmur Stadium, KUANTAN