Matthew pastikan 3 mata buat Pahang

August 18, 2018

Gol tunggal dari Ketua Pasukan Pahang, Matthew Davies memastikan Pahang membawa pulang 3 mata penuh untuk terus mengungguli kumpulan D Unifi Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan malam tadi.

Jaringan minit ke 81 itu hadir setelah kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan dalam perlawanan yang seimbang antara kedua-dua pasukan.

Untuk perlawanan ini, Helmi Eliza telah direhatkan oleh Dollah Salleh untuk memberi peluang kepada Remezey membuktikan kemampuannya manakala ketiadaan Issey meletakkan Wan Zaharulnizam mengisi kekosongan pemain import dari Jepun tersebut.

Amutu terus mengetuai serangan dibantu Norshahrul Idlan dan Sumareh setelah Patrick Cruz masih belum cergas untuk diturunkan.

Pahang lebih banyak melakukan serangan pada separuh masa pertama dengan mencipta beberapa peluang tetapi gagal menembusi petahanan PKNP yang diketuai oleh Ritus Krjaukus.

Matthew bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan pada minit ke 81 setelah menerima hantaran Sumareh yang pada mulanya berpunca dari satu sepakan percuma oleh Sharul Nizam berhampiran kotak penalti PKNP.

PKNP yang tidak mengalah cuba untuk mencari gol pernyamaan untuk baki masa permainan namun kedudukan kekal shingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Kemenangan ini mengekalkan Pahang sebagai pendahulu kumpulan D dengan kelebihan perbezaan jaringan mengatasi Sabah yang menang di Likas dengan keputusan 2-1 menentang Selangor.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features