MB Pahang janji habuan

July 5, 2018

Oleh : Asrol Awang

KUANTAN: Kerajaan Pahang sedia memberi imbuhan kepada skuad Tok Gajah jika muncul juara Piala FA, musim ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, imbuhan itu sebagai galakan kerana bukannya mudah untuk sebuah pasukan berada di pentas final.

“Banyak halangan dan cabaran dilalui sepanjang saingan Piala FA ini dan kejayaan layak ke final membuktikan komitmen tinggi semua jurulatih dan pemain.

“Oleh itu, jika Pahang muncul juara, kami akan memberi imbuhan tetapi ia bergantung kemampuan kerajaan negeri,” katanya di sini, hari ini.

Justeru, Wan Rosdy meminta penyokong Pahang beramai-ramai memberikan sokongan pada aksi final Piala FA bertemu Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Beliau berkata, kehadiran penyokong skuad Tok Gajah bakal memberi suntikan semangat kepada anak buah Dollah Salleh untuk menjulang piala berprestij itu buat kali ketiga.

“Pada aksi final musim lalu, nasib tidak menyebelahi kami apabila tewas 2-3 kepada Kedah di Stadium Shah Alam. Kejayaan kali kedua berturut-turut ke pentas final musim ini amat membanggakan dan harapan saya penyokong Pahang dapat bersama memberi sokongan padu di Bukit Jalil.

“Tahniah buat skuad Pahang dan Piala FA musim ini diharap menjadi milik Pahang,” katanya. Berdasarkan rekod, Pahang menjulang Piala FA pada 2006 dan 2014.

Pada aksi final Piala FA Sabtu ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperuntukan sebanyak 60,000 tiket dewasa dan 1,500 tiket kanak-kanak kepada Pahang dan Selangor.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), masing-masing diperuntukkan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah yang masing-masing berharga RM50 dan RM5.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features