MFL janji saingan Liga Malaysia 2019 lebih meriah

January 18, 2019

Malaysia Football League (MFL) menjanjikan saingan yang lebih meriah dan menyeluruh untuk Liga Malaysia pada musim 2019 berikutan beberapa lagi elemen baru telah ditambah berbanding pada musim 2018.

Walaupun jumlah pasukan yang bertanding di dua liga utama tidak berubah iaitu masing-masing 12 pasukan di Liga Super manakala 12 pasukan lagi di Liga Premier, penganjuran pada kali ini melangkah ke
lebih tinggi dan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak hasil kerjasama daripada barisan penaja seperti unifi, iflix, Shopee, Nike, dan 100PLUS.

“Kesinambungan yang saya dapat lihat dengan penaja dan pelabur dalam liga terutamanya Telekom Malaysia (TM) sudah pasti banyak membawa perubahan besar kepada MFL dan kita berada di landasan yang tepat. Saya telah dimaklumkan oleh MFL bahawa para penaja berpuas hati dengan pelaburan ini. Jadi tahniah kepada MFL dan teruskan usaha yang baik ini.

Kita harus bergerak maju kehadapan dan akan bekerjasama lebih erat bersama TM, iflix dan Ampersand yang telah memberikan komitmen jangka masa panjang termasuk penaja-penaja tidak kira besar ataupun kecil. Kamu (penaja) adalah wira bagi semua.”

– Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Mahadi.

Perkara ini diumumkan ketika Majlis pelancaran Pra Musim 2019 anjuran MFL di Hotel Saujana Subang semalam serentak dengan pelancaran logo baharu MFL yang dihadiri wakil pemain dan pegawai pasukan yang bertanding pada Khamis.

Logo baru Malaysia Football League. Grafik : MFL

Buat pertama kalinya, MFL bakal melancarkan aplikasi MFL yang boleh mula dimuat turun secara percuma di Google Play dan juga App Store bermula 23 Januari ini.

Aplikasi ini akan memberi kemudahan kepada peminat untuk mengetahui berita terkini, jadual perlawanan, keputusan, pembelian tiket, statistik perlawanan dan juga permainan ‘Football Manager Liga Malaysia’.

Selain itu, dengan kerjasama antara MFL dan Fanskick.com satu maklumat statistik daripada InStat akan diberikan secara percuma pada setiap pasukan bagi membolehkan mereka melakukan analisis dan juga persediaan perlawanan.

Penyokong setia juga pada musim ini akan mendapat keistimewaan jika lebih kerap hadir ke stadium kerana mereka akan diberi keutamaan untuk membeli tiket jika pasukan mereka layak ke perlawanan separuh akhir ataupun akhir.

Seperti musim lepas, iflix bakal menjadi arena setempat untuk hiburan bolasepak apabila menyiarkan sejumlah 221 perlawanan bola sepak secara langsung percuma kepada penonton seluruh negara melalui segmen “Football Malaysia on iflix” selain ribuan siaran ulangan penuh perlawanan, sorotan perlawanan, video-video pendek menarik dan rancangan bual bicara bola.

Iflix juga buat julung-julung kalinya akan memperkenalkan iflix Cup iaitu satu perlawanan All Star dari pasukan Utara menentang pasukan dari Selatan yang mana pemain-pemainnya akan dipilih sendiri oleh peminat.

Perlawanan tersebut yang akan dilangsungkan pada pertengahan musim dirancang untuk dijadikan satu karnival apabila pelbagai aktiviti seperti persembahan artis secara langsung, permainan interaktif dan banyak lagi akan dianjurkan bagi menghidupkan semangat bolasepak Malaysia.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match