Moh ke stadium sokong Tok Gajah!

March 18, 2019

Oleh : Asrol Awang

SOKONGAN padu penyokong Pahang ditagih untuk memberi motivasi kepada skuad Tok Gajah mengharungi saingan Liga Super musim ini. 

Kehadiran 67,000 penonton dalam tiga perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan membuktikan peminat Tok Gajah mampu memberi impak kepada skuad kendalian Dollah Salleh. 

Wakil kelab penyokong bola sepak Pahang, Mohd Jusri Abd Kadir berkata, pihaknya memuji komitmen dan sokongan daripada penyokong yang memberi sokongan padu kepada skuad Pahang. 

“Kehadiran 67,000 penyokong Pahang di stadium ternyata memberi impak positif kepada skuad Tok Gajah untuk mempamer prestasi terbaik. 

“Saya percaya dengan sokongan seperti ini pada perlawanan akan datang, kita mengharapkan Pahang akan meraih kejayaan membanggakan musim ini. 

“Begitu juga sokongan yang diberikan apabila skuad Pahang beraksi di tempat lawan seperti yang dilakukan ketika bertemu Kuala Lumpur, Melaka United dan PKNP FC,” katanya. 

Selepas tiga perlawanan di Stadium Darul Makmur, jumlah penonton tertinggi yang direkodkan ialah perlawanan dengan Terengganu FC (TFC) iaitu 28,000 orang diikuti Kedah (21,000 orang) dan Selangor (18,000 orang). 

Mohd Jusri yang juga Pengerusi Kelab Bolasepak Laksamana Tok Gajah berkata, dengan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan setakat ini, skuad Pahang perlu meneruskan pencapaian itu. 

Katanya, ini kerana sebaik saingan Liga Super bersambung, aksi lebih getir bakal dihadapi skuad Pahang termasuk bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT). 

“Oleh itu, tempoh rehat tiga minggu diharap mampu memperkasakan skuad Tok Gajah dan pemain yang mengalami kecederaan pula cepat pulih,” katanya.

Artikel Asal : https://www.hmetro.com.my/arena/2019/03/435135/moh-ke-stadium-sokong-tok-gajah


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(LS18)
Super League
Shah Alam Stadium, SHAH ALAM

(S2FA)
Shopee FA Cup
Perak Stadium, IPOH