Nasib berbeza skuad muda Pahang

March 2, 2018

Dua skuad pembangunan Pahang mengalami nasib berbeza dalam dua perlawanan terakhir minggu ini semasa saingan liga masing-masing dengan skuad Piala Presiden mencatat satu kemenangan manakala skuad Piala Belia gagal memperolehi satu mata.

Skuad Belia yang ceria menang dalam perlawanan pertama di tempat sendiri menentang Selangor gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas dua perlawanan berturut-turut di tangan pasukan bawah 16 tahun Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan juga Kuala Lumpur.

Pasukan bawah 19 tahun ini tewas 1-2 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Padang MSN Bukit Jalil setelah bolos di minit-minit akhir pada Ahad manakala pada perlawanan ke 3 di Stadium Mini UIA, Indera Mahkota yang berlangsung Rabu mereka tewas tipis 0-1 di tangan Kuala Lumpur.

Bagi skuad bawah 21 kendalian Azaruddin Aziz, minggu ini bermula dengan langkah kiri apabila tewas di tempat sendiri menentang Sabah dengan keputusan 1-2 pada Isnin tetapi kembali bangkit untuk menumbangkan Melaka 1-0 dengan gol kemenangan dijaringkan oleh Nik Sharif dengan kedua-dua perlawanan dilangsungkan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Dengan keputusan ini, skuad Belia menduduki tangga ketujuh ketinggalan 4 mata di belakang pendahului liga ketika ini Pulau Pinang manakala skuad Piala Presiden berada di tangga ke 3 ketinggalan 3 mata di belakang pendahulu Sabah.

Perlawanan mereka seterusnya ialah pada 28 Mac untuk Piala Belia menentang Pulau Pinang manakala skuad Piala Presiden akan berkunjung ke Stadium Mini MMU di Cyberjaya untuk menentang Selangor pada 8 Mac 2018.


Comments

  1. Ahmad hapizi bin sahak - March 2, 2018 at 7:14 pm

    Kena cuba sedaya upaya untuk memberi kemenangan setiap perlawanan…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features