Nelo Vingada panggil 4 pemain Pahang

May 25, 2017

4 pemain Pahang antara 26 pemain yang dipanggil Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baru, Nelo Vingada ke kem latihan pusat Skuad Kebangsaan yang akan bermula pada 29 Mei ini bertempat di Johor Bahru, Johor.

Kem latihan pusat ini adalah sebagai persediaan menghadapi perlawanan pertama kumpulan B, kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Labenon yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini.

Daripada 4 pemain yang dipanggil, 3 daripadanya pernah mendapat panggilan iaitu Ketua Pasukan Matthew Davies, Wan Zaharulnizam dan Ahmad Syamim Yahya manakala seorang daripada iaitu Norazam Azih dipanggil untuk kali pertama bagi skuad senior.

Sebelum ini, Norazam pernah bermain dalam skuad Harimau Muda dan juga pernah dipanggil beberapa kali oleh Datuk Ong Kim Swee semasa jurulatih ini mengendalikan skuad bawah 23 tahun negara tetapi tidak pernah untuk skuad senior.

Bagi Matthew Davies dan Wan Zaharulnizam, panggilan ke skuad Harimau Malaya bukanlah perkara asing bagi mereka dengan Matthew yang paling kerap dipanggil manakala Syamim pernah menyarung jersi negara semasa kendalian Dollah Salleh.

FOOTBALL SKUAD HARIMAU MALAYA 2017 02

Vingada yang berasal dari Potugal baru sahaja dilantik mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih baharu skuad bolasepak Malaysia pada 15 Mei lalu bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang kini dilantik sebagai pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017 dan ini adalah tugasan sulung beliau setelah melapor diri Isnin lalu.

Vingada akan dibantu oleh bekas jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dan juga rakan senegaranya, Jaao Arnaldo Correira manakala Azmin Azram Aziz menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih penjaga gol.

Hanya 15 pemain akan melapor diri pada hari Isnin ini (29 Mei) manakala bakinya iaitu pemain Johor DT akan melapor diri pada hari Jumaat (2 Jun) setelah selesai tugasan kelab mereka dalam saingan Piala AFC di Filipina.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features