Nwakaeme buktikan masih berbisa

February 2, 2019

Dua jaringan ‘orang besi’ Dickson Nwakaeme sudah cukup untuk membuktikan bisanya masih belum hilang setelah membantu Pahang membenam cabaran Kuala Lumpur dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan pertama unifi Liga Super di Cheras malam tadi.

Pahang nyata tidak memandang rendah perlawanan ini apabila Dollah Salleh menurunkan semua pemain import dalam perlawanan ini.

Barisan utama perlawanan malam tadi.

Mohamadou Sumareh dan bintang muda Indonesia Saddil Ramdani mengisi posisi sayap pasukan Pahang menyaksikan Norshahrul Idlan Talha terpaksa bermula dari bangku simpanan.

Pahang bermula garang sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan oleh pengadil perlawanan dan sentiasa mengancam kubu pertahanan Kuala Lumpur yang diterajui pemain import Jepun, Ryutaro Karube namun kekentalan benteng terakhirnya oleh Shalbinee Allawee mengecewakan pemain Pahang.

Usaha keras mereka akhirnya berhasil apabila pada minit ke 23, Saddil Ramdani memecah kebuntuan untuk menjaringkan gol Liga Super bagi musim 2019 untuk Pahang mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Muslim Ahmad dan pemain Kuala Lumpur, Paolo Josue bersaing mendapatkan bola.

Seakan-akan mendapat kata-kata semangat dari Ketua Jurulatihnya Yusri Che Lah di bilik persalinan semasa rehat, Kuala Lumpur nyata tidak mengalah apabila pemain gantiannya Afiq Razali menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 48 yang menceriakan par penyokong tuan rumah.

Tidak mahu buruan 3 mata di perlawanan sulung ini terjejas, Pahang terus melancarkan serangan bertali arus tetapi kecekapan Shalbinee menjadi penghalang setelah menafikan beberapa percubaan penyerang Pahang.

Namun, Nwakaeme menceriakan penyokong hampir 5,000 penyokong Pahang setelah menyambut bola muntah susulan percubaan Zer Love hasil gerakan Sumareh dan Azam untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Nwakaeme kemudian menunjukkan bisa beliau masih ada apabila menambah gol kedua peribadinya pada minit-minit akhir perlawanan setelah melakukan gerakan solo menewaskan beberapa pemain Kuala Lumpur termasuk Shalbinee untuk Pahang pulang ke Kuantan dengan 3 mata penuh.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Match

(LS15)
Super League
Darul Makmur Stadium, KUANTAN