Pahang dilarang mohon lesen AFC

February 25, 2018

Oleh : Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Kesemua pasukan Liga Super 2018 secara rasmi sudah memohon mendapatkan lesen Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memenuhi syarat ditetapkan untuk musim depan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini dengan tarikh akhir permohonan adalah pada 15 Februari lalu.

Hamidin berkata, pasukan berkenaan turut memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara AFC 2019, kecuali Pahang.

Pahang dilarang memohon lesen AFC selama dua tahun oleh FAM selepas enggan mewakili negara ke pertandingan Piala AFC musim ini.

“Sementara itu, 10 daripada 12 pasukan Liga Perdana 2018 sudah memohon untuk mendapatkan Lesen FAM bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2019, jika layak.

“Dua lagi pasukan, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Terengganu FC II (TFC II) tidak memohon kerana mereka adalah ‘feeder club’ kepada dua pasukan Liga Super iaitu JDT dan TFC.

“Bagaimanapun, kesemua pasukan ini perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama membabitkan kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan.

“Ia seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 bagi membolehkan mereka diberi lesen FAM dan lesen AFC,” kata Hamidin dalam satu kenyataan.

Pahang dipilih mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC musim ini bagi menggantikan Kedah yang gagal mendapatkan lesen AFC, namun tawaran itu ditolak skuad Tok Gajah dengan mahu memberi fokus terhadap pertandingan domestik.

Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu selepas enggan atau gagal mendaftar pasukan ke pertandingan Piala AFC musim ini, sekali gus dilarang memohon lesen AFC untuk dua tahun, bermula musim ini.

Berita Asal


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features