Pahang gah tewaskan Selangor untuk muncul Juara

July 8, 2018

Dua jaringan pada setiap babak oleh Norazam Azih dan Patrick Cruz telah cukup untuk menobatkan Pahang selaku Juara Shopee Piala FA 2018 menewaskan Selangor dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan di Stadium Nasional, Bandar Sukan KL pada malam semalam.

Bertemu kali terakhir di perlawanan akhir hanya pada 21 tahun yang lepas, Pahang yang menewaskan PKNP FC dalam separuh akhir dengan agregat 3-2 menghadapi Selangor yang penuh bergaya menewaskan pasukan ‘adik’ PKNS FC di satu lagi separuh akhir dengan argregat 5-1.

Setelah beberapa tahun diadakan di Stadium Shah Alam, ini adalah perlawanan akhir pertama yang dilangsungkan di stadium yang serba baru ini setelah ditutup beberapa tahun untuk pengubahsuaian bagi menghadapi Sukan SEA pada tahun 2017.

Dollah Salleh membuat satu keputusan drastik berikutan hanya 4 pemain import dibenarkan beraksi apabila memilih untuk memasukkan Patrick Cruz dalam kesebelasan utama bergandingan dengan Amutu memaksa Issey Nakajima terpaksa direhatkan manakala Norshahrul Idlan Talha diletakkan di posisi sayap berbeza dengan sebelum ini yang mana beliau banyak diletakkan di posisi serangan.

Sebaik perlawanan dimulakan, Pahang lebih banyak mencipta peluang dengan beberapa kali menguji Azhan di gawang Selangor melalui gandingan Cruz-Amutu hasil bantuan rakan-rakan di jentera tengah namun gagal untuk menjaringkan gol pendahuluan.

Tetapi, usaha itu akhirnya berhasil apabila Norazam Azih melakukan jaringan yang berkelas dunia apabila melakukan rembatan dari luar kotak penalti setelah pertahanan Selangor tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan sempurna pada minit ke 23 untuk Pahang mendahului hingga tamat babak pertama.

Selangor dikejutkan dengan serangan Pahang pada awal babak separuh masa kedua apabila Sumareh berjaya melepasi kawalan pertahanan untuk melakukan hantaran lintang namun Cruz gagal melakukan tandukan sempurna untuk bola terkeluar dari kawasan permainan.

Selangor kemudiannya cuba untuk menyaingi Pahang dengan melakukan beberapa gerakan merbahaya melalui penjaring berbanyak Piala FA, Rufino Segovia tetapi tetap gagal kerana kekebalan pertahanan Pahang untuk bertahan serta kecekapan penjaga gol Helmi Eliza.

Sebaliknya, Pahang memperolehi penalti pada minit ke 60 setelah Amutu dijatuhkan De la Cruz di dalam kotak penalti dan Patrick Cruz berjaya menewaskan Azhan untuk menjarakkan  kedudukan kepada 2-0 sehingga tamat masa penuh perlawanan.

Ini adalah kejuaraan ketiga Pahang setelah muncul juara pada dua edisi terdahulu iaitu pada tahun 2006 dan 2014 manakala Selangor gagal untuk mengutip koleksi kejuaraan ke 6 mereka setelah kali terkahir muncul juara pada tahun 2009.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features