Pahang garang tewaskan Kelantan di Kuantan

February 10, 2018

Gol penampilan dari Forkey Doe walau hanya beraksi selama 13 minit antara momen yang mewarnai kemenangan pertama Pahang  dalam saingan unifi Liga Super setelah menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Darulmakmur sebentar tadi.

Dollah Salleh kali ini hanya melakukan dua pertukaran berbanding perlawanan di Shah Alam dengan imenyenaraikan kembali Faisal Rosli di bek kiri bagi menggantikan Zubir Azmi manakala Kogileswaren diletakkan di bangku simpanan bagi memberi peluang kepada penyerang import baru dari Liberia, Forkey Doe untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talha.

Sebaik sahaja perlawanan dimulakan oleh pengadil perlawanan Suhaimi Mat Hassan, Pahang giat menyerang kerana memburu gol pertama musim ini setelah ketandusan gol dalam dua perlawanan sebelum.

Ini terbukti apabila seawal minit ke 10 Pahang sudah nyaris menjaringkan gol pembukaan apabila Forkey Doe berjaya melakukan tandukan setelah Vathanaka mengambil sepakan percuma pantas tetapi malangnya bola tandukan itu melepasi palang.

Namun, 3 minit berselang, Forkey Doe menceriakan penonton tuan rumah apabila menjaringkan gol pertama Pahang dari tandukan yang menewaskan Khairul Fahmi setelah menerima hantaran sepakan percuma Chan Vathanaka.

Kelantan bagaimanapun memperolehi peluang terbaiknya melalui Syukri Hamid yang menanduk bola di dalam kotak penalti hasil dari sepakan percuma tetapi mujur tindakan refleks Helmi Eliza menepis bola itu keluar dan kedudukan kekal 1-0 hingga separuh masa kedua tamat.

Bermula di separuh masa kedua, Pahang terus menguasai permainan dengan bertalu-talu mencipta peluang tetapi pertahanan Kelantan yang diketuai penjaga gol Khairul Fahmi masih kekal bertahan.

Namun, tembok itu runtuh apabila sepakan penjuru oleh Chan Vathanaka pada minit ke 55 ditanduk Alex Moraes yang kemudiannya ditampan Sumareh ke dalam gol untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Norazam kemudiannya menambah derita Kelantan apabila menjaringkan gol ketiga Pahang setelah memanfaatkan kesilapan pertahanan Kelantan yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan memjadikan Pahang ceria memperolehi 3 mata pertama manakala Kelantan terus kempunan memperolehi kemenangan pertama mereka sejak Liga bermula pada awal Februari.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News & Features